Perkahwinan merupakan suatu tuntutan agama dalam meraikan fitrah makhluk ciptaan-Nya. Perkahwinan merupakan satu jalan mencapai keredhaan Allah dalam menuju syurga-Nya. Allah memerintahkan hamba-hamba-Nya untuk berkahwin seperti firman-Nya:
“Dan kahwinlah orang bujang (Lelaki atau perempuan) dari kalangan kamu, dan orang yang salih dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah swt akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpa kurnia-Nya, kerana Allah swt Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui” (Surah An-Nur 24:32)
Kekayaan yang dianugerahi Allah ini bukan semata-mata dalam
konteks wang ringgit dan harta, tetapi kekayaan diri yang merasakan diri cukup
dengan nikmat-nikmat Allah yang seterusnya mendekatkan kita dengan syurga-Nya.
Tanyalah pasangan yang telah berkahwin, pasti mereka berasa nikmat Allah itu
meliputi mereka kerana isteri itu tidak lain tidak bukan adalah anugerah Allah.
Dan kekayaan melalui nikmat itulah yang Allah rakamkan dalam
Firman-Nya:
“Dan di antara tanda-tanda
kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri,
supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di
antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar
terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir. ” (QS. 30:21)
Teringat saya akan skrip dialog yang dipetik dari filem
‘Sepi’ arahan Khabir Bhatia
“Isteri bukan hak milik, tetapi anugerah”
Dialog itu cukup melekat dalam hati saya semenjak itu dan
sering membuatkan saya terfikir-fikir. Dijadikan isteri itu sebagai anugerah
bukan hak milik. Seseorang hanya akan merasa kaya apabila di merasakan dirinya
mendapat anugerah yang istimewa dari Allah. Dan rasa kekayaan itulah yang
dirasai apabila isteri itu dilihat sebagai anugerah Yang Maha Esa. Namun,
sebaliknya jika kita merasakan isteri itu hak milik, maka kita tidak pernah
akan merasa cukup dengan kemilikan itu, dan sentiasa merasa berwaspada akan
kehilangannya.
Disebalik anugerah Allah itulah kita akan mendapatkan
syurga. Hadith Rasulullah s.a.w sentiasa mengingatkan kita bahawa terlalu
banyak kebaikan yang Allah ganjarkan kepada mereka yang berkahwin, sehingga
disebut Rasulullah telah sempurna separuh dari agama, maka sebahagianlah
disuruh kita bertakwa. Mengapa begitu besar ganjaran Allah disebalik anugerah
itu yang sudah pastinya bukan sekadar mengkayakan kita didunia, malah menambah
saham akhirat dengan lipat kali ganda? Jika ditanyakan pasangan yang berkahwin,
sudah pasti mereka akan katakan, terlalu banyak peluang membuat kebaikan kepada
isteri dan anak-anak yang seterusnya menjanjikan syurga.
Sering lelaki dan suami merasakan bahawa dialah ketua dan
dialah yang paling tinggi kedudukannya didalam keluarga. Sehingga isteri itu
perlu taat kepadanya. Ayat syurga isteri itu bergantung pada redha suami
menjadikan suami kadangkala lupa bertanya diri dimana pula syurganya?
Pernahkah suami bertanya dimana syurganya didalam rumah
tangga?
Sungguh Allah itu Maha Adil. Dia tidak menjadikan wanita itu
sebagai kaum lemah yang mana kedudukannya di akhirat bergantung pada redha
suami hanya untuk didominasi dan dipergunakan lelaki.
Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud:
“Bila isteri itu mengerjakan
sembahyang lima waktu, berpuasa bulan Ramadan, memelihara kemaluannya dan
mematuhi suruhan dan larangan suaminya, maka akan dimasukkan dia ke dalam
syurga.” (riwayat Abu Hurairah)
Mematuhi suruhan dan larangan suami dijadikan syarat Allah
yang terakhir dalam hadith itu untuk wanita menjejaki syurga. Namun, Allah
tidak menjadikan kewajipan itu semata-mata sia-sia kerana jaminan syurga itu
bersifat mutual. Syarat ke syurga tidak hanya diletakkan kepada isteri, tetapi
juga diletakkan kepada suami, sebagai bukti keadilan Allah.
Lantaran itu, Rasulullah SAW bersabda dalam hadisnya
bermaksud:
“Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik
terhadap keluarganya dan aku adalah yang terbaik daripada kamu terhadap
keluargaku”. (Riwayat At-Tirmizi)
Tidak sekadar itu, Rasulullah dalam hadith lainnya menyebut:
“Mukmin yang paling sempurna imannya
ialah yang paling baik akhlaknya. Orang yang paling baik diantara kamu adalah
orang yang paling baik melayani isterinya”. (Riwayat At-Tirmizi)
Subhanallah, itulah bukti keadilan Allah agar kaun hawa
tidak ditindas oleh lelaki yang ego mengatakan dialah ketua yang harus ditaati
isterinya sedangkan dia melayani isteri dengan buruk.
Syurga yang dijanjikan Allah kepada isteri bersifat mutual
kepada suami sekiranya dia melayani isterinya dengan baik. Jangan hanya sibuk
memperingati isteri berkenaan syurganya, sebaliknya berfikirlah dimana syurgamu
wahai suami dalam rumah tanggamu. Sudahkan kita melayani isteri kita sebaiknya
dan memuliakannya sebagai seorang isteri dan ibu kepada anak-anak kita. Jangan
hanya mempersoalkan hak-hak kita yang perlu dipenuhi isteri, sebaliknya
tanyakan hak-hak isteri yang masih belum kita sempurnakan dan tunaikan.
Tulisan ini tidak lain dan tidak bukan sebagai peringatan
kepada diri, andai nanti disaat terleka dan terlupa untuk bertanya dan
bermuhasabah dimana syurgaku.
Sumber:
http://www.ataphijau.com/
No comments:
Post a Comment